KALI ini kita menyaksikan jumlah calon paling banyak bertanding dalam sejarah PRU di negara ini.
Berbanding 600 lebih pada PRU-14, pada PRU-15 sebanyak 945 calon yang bertarung untuk merebut 222 kerusi Parlimen.
Hanya seorang calon yang akan menang di setiap kerusi di seluruh negara. Manakala yang lain pasti kecewa. Maksudnya, 723 calon termasuk dalam kalangan 110 calon Bebas bakal terluka dan kecundang dengan sebahagiannya hilang wang pertaruhan.
Selain jumlah calon yang banyak bertambah selari dengan pertambahan jumlah blok politik, jumlah pengundi juga banyak bertambah. Pada kali ini terdapat enam blok politik utama. Blok utama di Semenanjung ialah Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Blok utama di Sabah ialah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) manakala di Sarawak ialah Gabungan Parti Sarawak (GPS). Sebanyak 39 buah parti yang bertanding dalam satu persaingan sengit dan sesak kali ini.
Gabungan politik manakah yang dapat menarik perhatian di Semenanjung? Hari-hari yang berbaki sebelum kempen tamat pada tengah malam 18 November adalah amat penting.
Ingat, kali ini terdapat pertambahan 6.23 juta pengundi baharu menjadikan jumlah keseluruhan lebih 21 juta. Pengundi muda pula begitu ramai, dengan mereka dalam kalangan 18 hingga 20 tahun menyumbang sebanyak 1.4 juta.
Di Sarawak daripada 1.94 juta pengundi berdaftar, sekitar sejuta ialah golongan berusia 18 hingga 39 tahun. Adakah mereka ini bakal menjadi penentu seperti dipercayai ramai?
Semua blok politik sedar bahawa setiap undi penting untuk menentukan calon menang, dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan kerajaan.
Justeru, dalam tempoh 14 hari berkempen, segala strategi dan pendekatan digemblengkan bagi memujuk pengundi.
Jumlah yang turun mengundi pada Sabtu depan amatlah penting. Tujuannya untuk memastikan perwakilan yang memberi kemenangan adalah benar-benar representatif.
Adakah peratusan mengundi lebih daripada 80 peratus seperti pada PRU-13 dan PRU-14? Pada PRU-13 peratusannya adalah tertinggi dalam sejarah, iaitu sekitar 84 peratus manakala pada PRU-14 sekitar 82 peratus.
Kali ini dijangka jumlahnya adalah sekitar 75 peratus mengambil kira peratusan mengundi di Sarawak, Melaka dan Johor pada PRN lalu meskipun diakui PRU tidak sama dengan PRN.
Yang pasti, semua calon dan gabungan politik akan menggempur kubu lawan habishabisan untuk memastikan kemenangan.
Mereka menawarkan pelbagai aku janji dan komitmen melalui manifesto kepada pengundi. Mereka berusaha sebaik mungkin untuk menampilkan yang terbaik bagi memastikan kemenangan.
Terpulang kepada pengundi untuk menilai manifesto, calon dan parti. Rekod lepas calon dan parti perlu jadi ukuran. Pengundi tidak harus mudah termakan janji kerana ada janji yang bagai sekadar tanam tebu di bibir mulut.
Ada janji yang tidak realistik dan tidak masuk akal oleh parti yang bertanding. Pengundi perlu menggunakan kearifan dan mempertimbangkan semua faktor sebelum memangkah di kertas undi.
Antaranya, parti yang dapat menjamin kestabilan, kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat. Ya, parti yang berupaya membawa pembangunan dan membantu rakyat waktu sukar, termasuk ketika negeri dan negara dilanda ancaman Covid-19.
Jangan undi calon dan parti yang mendatangkan mudarat atau gagal tunaikan janji dan banyak membatalkan projek yang sepatutnya dilaksanakan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat.
Jangan masuk ke dalam lubang yang sama dua kali. Undilah dengan rasional bukan dengan emosi. Jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar. Jangan sia-siakan undi anda.
Ketika ini sukar dijangka dengan pasti blok yang akan meraih lebih banyak kerusi. Adakah PH atau BN? Yang pasti BN dan GTA tidak akan memberi saingan hebat meskipun mereka bertanding di banyak kerusi. Blok utama di Sabah tentunya GRS manakala di Sarawak ialah GPS.
Perlawanan sebenar di Semenanjung adalah antara BN dengan PH. Daripada kajian, banyak yang menyatakan, tiada mana-mana parti dominan pada PRU-15.
Hal ini berlaku di sebalik pengumuman masing-masing blok bahawa mereka akan menang besar. PH misalnya menyatakan pakatan itu akan memenangi antara 80 hingga 90 kerusi.
BN pula yakin memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi. PAS yakin memenangi 22 kerusi.
PN pula mendakwa mampu menang 122 kerusi. Hal ini dapat difahami. Tidak ada parti yang turun ke medan perang untuk tewas di tangan musuh.
Tiada jeneral yang turun perang untuk terus mengibar bendera putih terlalu awal. Semua itu adalah sebagai strategi politik dan perang saraf bagi meyakinkan penyokong.
Hakikatnya, empat gabungan politik di Semenanjung perlu mengakui tiada mana-mana gabungan akan muncul dominan sehingga dapat membentuk kerajaan tanpa bantuan pada malam 19 November nanti. Mereka perlu sokongan gabungan politik dari Sabah dan Sarawak.
BN secara realistik mungkin hanya menang 75 kerusi. GRS dijangka memenangi 15 kerusi, manakala GPS sekurang-kurangnya 25 kerusi. Perlu diakui mana-mana gabungan atau pakatan yang hendak membentuk kerajaan perlu mendapatkan sokongan parti dari Sabah dan Sarawak.
GPS pasti akan muncul sebagai kingmaker dan penentu sekali lagi bagi menjamin kestabilan politik di negara ini. Sebagai penentu siapa yang bakal membentuk kerajaan, GPS dapat mengemukakan tuntutan tertentu demi masa depan Sarawak dan 2.8 juta rakyatnya.
Justeru, sudah terang lagi bersuluh, kita sudah dapat memutuskan parti yang perlu diberi sokongan padu pada Sabtu depan.
Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.