SIMUNJAN, 13 Nov: Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) akan membangunkan Projek Komersial Simunjan yang bernilai RM16.3 juta.
Kenyataan LCDA hari ini mendedahkan projek berkenaan dibangunkan di kawasan seluas 4.44 ekar yang terletak di Lot 74-772 dan 774, Blok 8, Sedilu-Gedong Land District, Daerah Simunjan.
Bertujuan untuk menampung keperluan aktiviti ekonomi terutamanya sektor perniagaan penduduk setempat, antara komponen projek yang dirancang melalui peruntukan ini ialah penyediaan infrastruktur, medan selera, premis ‘cottage industry’, pasar tamu dan 10 unit kedai mini dua tingkat.
Kenyataan juga mendedahkan 10 unit rumah kedai dua tingkat lagi akan dibangunkan sendiri oleh LCDA.
“Pada masa ini, kerja-kerja penyediaan tapak telah pun siap,” jelas LCDA.
Dalam pada itu, kerja-kerja pembinaan fizikal Pusat Komersial Simunjan dijangka bermula pada suku kedua tahun 2023 dan siap pada suku pertama tahun 2025.
Kemudahan ini akan memberi lebih banyak peluang kepada golongan usahawan Bumiputera tempatan untuk memiliki premis perniagaan dengan harga mampu milik dan seterusnya merancakkan lagi kegiatan ekonomi terutamanya sektor pertanian, industri desa dan eko-pelancongan di kawasan Simunjan.
Terdahulu simbolik pelancaran pembangunan Projek Komersial Simunjan ini telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Esplanade Simunjan di sini, hari ini.
Turut hadir, ADUN Simunjan Awla Dris, ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo, Mantan ADUN Gedong Datuk Naroden Majais dan Calon GPS Parlimen P.200 Batang Sadong, Rodiyah Sapiee. – TVS