Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Tambah pendapatan negeri, bangunkan luar bandar antara perjuangan utama Abang Johari

KUCHING, 12 Nov: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg beriltizam menyediakan kemudahan yang sempurna di luar bandar dan pada masa sama menambah pendapatan negeri bagi tujuan membiayai pelbagai projek dan program pembangunan.

Bagi memastikan pembangunan di luar bandar, antara perkara utama beliau lakukan ketika dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2017 ialah melaksanakan projek jalan pesisir yang merangkumi pembinaan beberapa jambatan.

“Kita di Sarawak bukan sahaja kawasannya luas tetapi banyak sungai dan sungai ini kita terpaksa bina jambatan dan ia memerlukan kos yang tinggi.

“Tetapi kita carikan satu model untuk kita membangunkan infrastruktur asas,” katanya sambil menambah, usaha untuk menyediakan bekalan elektrik dan bekalan air sentiasa diutamakan.

Beliau berkata demikian menerusi program Bicara Hati Rakyat Bersama Abang Jo yang disiarkan secara eksklusif di TVS pada malam ini.

Program itu menampilkan hos, Najib Imran dan Ghazali Zawawi. Bicara Hati Rakyat Bersama Premier Abang Jo juga akan disiarkan pada 9 pagi, Ahad ini menerusi Facebook dan YouTube TVS.

Abang Johari berkata lagi, kos bagi melaksanakan projek pembinaan jalan pesisir termasuk jambatan di negeri ini ialah RM12 bilion dan ia perlu dilaksanakan dalam lima hingga enam tahun.

Pembinaan jalan yang sempurna akan menggalakkan perkembangan aktiviti ekonomi dan memudahkan pergerakan penduduk di kawasan terbabit.

Malah, beliau mahu tanah yang luas di luar bandar dimanfaatkan untuk kegiatan pertanian komersial, sekali gus meningkatkan pendapatan petani dan mengurangkan import makanan.

Ke arah ini, beliau menjelaskan kerajaan perlu menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang baik bagi menyokong penggunaan teknologi digital dalam bidang pertanian komersial.

Setiap tahun, bajet negeri menyediakan peruntukan lebih besar (kira-kira 70 peratus) terhadap pembangunan luar bandar bagi membiayai  pelaksanaan projek-projek infrastruktur di luar bandar.

Mengenai pendapatan kerajaan Sarawak, Abang Johari memperkenalkan Cukai Jualan Negeri (SST) terhadap produk minyak dan gas sejak 2019.

“Bermula dari itu kita ada sumber pendapatan hasil dari SST minyak dan gas dan hari ini pendapatan kita bertambah. Kalau dahulu (pendapatan negeri) paling tinggi ialah RM6 bilion, tetapi kali ini RM10 bilion.

“Pada bulan ini saya akan membentangkan bajet negeri dan ia lebih daripada RM10 bilion, tetapi saya tidak nyatakan angka malam ini, kita tunggu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN),” ujarnya.

Turut akan dibentangkan pada persidangan DUN November ini ialah rang undang-undang dana kekayaan berdaulat.

“Apabila kita ada dana kekayaan berdaulat, kita akan simpan wang kita selama 20 tahun dan dana akan bertambah, justeru kita akan mendapat pulangan daripada dana.

“Kalau kita ada pulangan ini akan menjadi pendapatan tambahan dan ini kita boleh gunakan untuk pembangunan dan sebagainya,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan