KUCHING, 12 Nov: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjangka Sarawak akan menghasilkan kira-kira 100,000 tan hidrogen pada 2027.
Menurutnya, pada masa hadapan hidrogen yang diproses di Sarawak akan dibeli semula oleh Korea Selatan, sekali gus meningkatkan pendapatan negeri.
Malah, industri baharu ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di Sarawak.
“Saya pergi ke Korea (pada September 2022) dan mereka hendak melabur bersama dengan kita,” katanya menerusi program Bicara Hati Rakyat Bersama Abang Jo yang disiarkan secara eksklusif oleh TVS pada malam ini.
Program itu menampilkan hos, Najib Imran dan Ghazali Zawawi. Bicara Hati Rakyat Bersama Premier Abang Jo juga akan disiarkan pada 9 pagi, Ahad ini menerusi Facebook dan YouTube TVS.
Hidrogen merupakan sumber bahan bakar baharu dalam usaha ke arah transisi tenaga daripada bahan bakar berkarbon kepada bahan bakar bebas karbon sebagai mendokong usaha dunia mengatasi perubahan iklim dunia.
Hidrogen berpotensi besar untuk berkembang di Sarawak atas faktor alam sekitar yang sesuai, jelas Abang Johari lagi.
Selain hidrogen, beliau menekankan tentang betapa perlu Sarawak meneroka pelbagai sumber tenaga hijau seperti alga bagi menghasilkan biofuel mesra alam.
Selain tenaga dari alga, beliau turut menggariskan potensi Sarawak menceburi tenaga solar dengan memanfaatkan tasik empangan untuk membina panel solar terapung.
Bagi menambah kepelbagaian ekonomi, beliau menyentuh mengenai produk-produk dari industri hiliran gas yang akan meningkatkan nilai berbanding bahan mentah.
“(Dengan semua industri ini) bermakna ia akan menjadi tarikan untuk pelabur datang (ke Sarawak),” katanya.