Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Henry Sum Agong ditemui pemberita di Lapangan Terbang Lawas. Foto: Awang Azmil (TVS)

Laluan kereta api Sabah-Lawas, tunggu rundingan lanjut

ByOdleen Catherny

LAWAS, 12 Nov: Cadangan bagi membina laluan serta landasan kereta api dari Sabah ke Lawas kini pada peringkat rundingan lanjut kedua-dua pemimpin negeri, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Sum Agong.

Menurut Henry, tidak mustahil cadangan berkenaan terlaksana memandangkan projek mega berkenaan akan mendatangkan manfaat kepada kedua-dua negeri.

“Sabah dan Lawas berjiran. Dalam pertemuan saya dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, saya memberitahu beliau untuk melawat Lawas sekiranya berkelapangan untuk mengadakan pertemuan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau (Hajiji) kata, ‘itu semua kawan saya’. Jadi, dengan harapan sedemikian, tidak mustahil kerjasama yang erat akan wujud,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kempen Kesedaran Budaya Keselamatan Penerbangan Lawas anjuran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di Padang Lapangan Terbang Lawas, di sini, hari ini.

Menurut calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Lawas itu lagi inti pati rundingan berkenaan nanti akan menentukan bila projek tersebut akan dilaksanakan.

Memetik contoh perkhidmatan kereta api pergi dan balik dari Padang Besar ke Hatyai, Thailand, menurut Henry infrastruktur serupa merupakan gambaran potensi kerjasama dari Sabah dan Sarawak nanti.

“Mungkin ada yang mempersoal begini, ‘itu kereta api Sabah mengapa datang ke Lawas, Lawas adalah Sarawak?’. Jadi kalau kita lihat di Kuala Lumpur, mereka mempunya kereta api yang boleh sampai ke Thailand, ke Myanmar dan mungkin tak lama lagi ke China,” ujarnya.

Meyakini manfaat pembinaan landasan tersebut, Henry mendedahkan Pengerusi Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di Sabah akan mengadakan lawatan ke Lawas dalam masa terdekat ini.

“Pada kunjungan itu nanti, kami akan membincangkan perkara ini,” jelasnya sambil mendedahkan cadangan asal pembinaan landasan kereta api itu sebelum ini telah dikemukakan oleh kementeriannya ketika lawatan kerja ke Sabah baru-baru ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan