KUCHING, 12 Nov: Kota Samarahan yang merupakan bahagian kelapan di Sarawak akan mengalami limpahan pembangunan dalam jangka masa tahun tahun sehingga tahun 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, limpahan pembangunan itu bakal mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang bergaji tinggi serta menerima ramai pakar serta ahli saintis melalui projek-projek pembinaan Pusat Rawatan Kesihatan yang dilaksanakan di kawasan tersebut.
“Ini menyebabkan Kota Samarahan menerima lebih banyak penduduk, pelbagai projek perumahan akan dibina bagi menampung pertambahan penduduk di mana masyarakat akan membeli rumah yang dibina tersebut,” kata ketika berucap di Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-6 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di sini, malam tadi.
Menjelas lanjut, katanya,pertambahan penduduk ini menjadi faktor wujudnya isu kesesakan lalu lintas dan kerajaan negeri kini dalam usaha menangani isu tersebut dengan bakal membina lampu isyarat pintar serta membesarkan jalan raya Kota Samarahan – Kuching.
“Namun, ini hanya solusi sementara, kita memerlukan sebuah pelan untuk menangani kesesakan trafik di jalan utama Kota Samarahan ke Kuching tersebut,” ujarnya.
Jelas beliau, jalan tersebut akan terus ke kawasan Tanjong Bako dan dari Tanjong Bako ia akan sampai ke jambatan Sejingkat.
Tambah Abang Johari lagi, kerajaan turut merancang untuk menubuhkan sebuah pelabuhan yang bakal menghubungkan Jalan Pesisir ke kawasan Tanjong Bako. – TVS