KUCHING, 12 Nov: Nadhar Idruze dan Akeem Hidayat tergamam apabila dinobatkan sebagai dua peserta yang layak ke peringkat separuh akhir Getaran Jiwa.
Mereka yang masing-masing mendapat markah sebanyak 60.55 dan 50.74 tidak menyangka layak ke peringkat seterusnya kerana peserta-peserta pada minggu ini hebat belaka.
Nadhar, 28, mendendangkan lagu “Madu 3” berkata, walaupun gementar dengan kehadiran Liza Hanim selaku juri jemputan, namun dia telah membuat satu persembahan yang terbaik buat semua.
“Pada peringkat seterusnya saya akan membuat satu persembahan yang lebih lagi daripada minggu ini.
“Ini kerana saya mahu meneruskan impian saya menjadi seorang penyanyi yang hebat dan berharap agar semua terus menerima dan menyokong saya untuk merealisasikan impian ini,” katanya.
Manakala Akeem, 29, yang membawakan lagu “Berkorban Apa Saja,” tidak sangka persembahannya membuatkan air mata juri tetap Nurafizah Busman mengalir membasahi pipi.
Beliau sempat berseloroh dengan pihak media bahawa beliau mahu berehat sebentar sebelum kembali mengegarkan pentas separuh akhir Getaran Jiwa nanti.
“Setakat ini, saya belum mempunyai apa-apa rancangan selepas memandangkan belum lagi diberikan lagu oleh pihak produksi,” ujarnya.
Mereka ditemui pada sidang media selepas konsert Getaran Jiwa minggu ke-4 malam tadi.
Nadhar dan Akeem akan bersama dengan Sam Dean, Izwan Dahlan, Suili George, Mady Spuan, Aruel Ariel dan Santiana Ramli untuk berentap di separuh akhir.
Dua lagi peserta akan diketahui menerusi episod kelima pada minggu hadapan.
Saksikan Getaran Jiwa pada Jumaat, jam 8:45 malam hanya di TVS saluran 122 Astro dan MYTV.
Getaran Jiwa juga boleh disaksikan secara langsung di Stadium MBKS, Bintawa dan pintu akan dibuka seawal jam 7:00 malam, masuk adalah percuma. – TVS