KUCHING, 12 Nov: Seramai 16 graduan muda bekerja berusia antara 22 hingga 30 tahun akan mengambil bahagian dalam acara latihan yang menjanjikan pengalaman unik anjuran Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) di Kompleks AZAM di sini, hari ini
Sukarelawan AZAM dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia AZAM, Mohamad Ariff Irwani berkata, bengkel tersebut akan dikendalikan melalui permainan papan simulasi yang kompetitif.
“Sesi separuh hari akan menyaksikan para peserta bersaing antara satu sama lain dalam simulasi cabaran dalam pencarian kemajuan kerjaya dan perjalanan pertumbuhan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Objektif latihan tersebut adalah untuk membimbing belia dalam mengenal pasti kemahiran kemajuan kerjaya yang penting, membangunkan sikap positif dan tingkah laku proaktif, selain mengejar kesejahteraan peribadi dan keseimbangan emosi.
Program ini juga bertujuan untuk menjana semangat sukarelawan yang lebih tinggi dalam kalangan belia.
Bengkel pembangunan kerjaya hari ini merupakan salah satu daripada pelbagai aktiviti di bawah program pembangunan belia AZAM yang diketuai oleh Ariff yang juga merupakan Jurulatih dan Perunding Positive Impressions.
Para peserta terdiri daripada graduan muda bekerja daripada sektor swasta, agensi berkaitan kerajaan negeri, Institut Pembangunan Sarawak (SDI) dan Kelab Toastmasters AZAM.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai acara hujung minggu ini, layari media sosial AZAM Sarawak. – TVS