BETONG, 12 Nov: Sebanyak 55 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bahagian Betong dikenal pasti akan dibuka secara serentak sekiranya berlaku bencana banjir.
Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam berkata kesemua PPS itu dapat menampung seramai 12,510 mangsa bencana pada suatu masa.
Menurutnya jumlah PPS tersebut merangkumi di lokasi; Betong (tujuh PPS), Spaoh (dua PPS), Debak (empat PPS), Pusa (enam PPS), Saratok (10 PPS) dan Roban serta Kabong masing-masing tiga PPS.
“Manakala daerah kecil Debak juga mempunyai empat buah PPS yang juga telah dikenal pasti oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong (JPBB),” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu berkata demikian pada sesi latihan dan simulasi bencana Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Peringkat Bahagian Betong di Debak, pada Khamis.
Bercakap mengenai sesi latihan dan simulasi terbabit, Mohammad Razi mendedahkan seramai 150 peserta terlibat kali ini.
“Jumlah ini termasuk 30 orang Ketua Masyarakat, Ketua Kaum dan Tuai Rumah di Debak yang bertindak sebagai pemerhati,” jelasnya.
Selain itu, kata beliau lagi seramai 10 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terdiri daripada 30 orang mangsa sudah didaftar masuk ke dalam PPS.
Beliau memberitahu sesi katihan dan simulasi bencana itu bertujuan untuk memangkin kesiapsiagaan semua agensi yang terlihat dalam pengurusan bencana di setiap bahagian dan daerah.
“Inisitif ini juga bertujuan untuk semua pihak lebih bersedia menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing sekiranya sesuatu bencana berlaku,” tegasnya.