KUCHING, 11 Nov: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mempergiatkan aktiviti mengindahkan bandaraya ini menerusi meningkatkan kesedaran masyarakat dalam aspek pengurusan sisa buangan ataupun sisa sampah.
Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Datu Junaidi Reduan berpendapat, sikap menjaga kebersihan seharusnya dimulakan dari kediaman masing-masing agar tabiat membuang sampah di kawasan awam dapat dihentikan.
“Saya juga menyeru ibu bapa seharusnya memainkan peranan mendidik perkara ini sejak anak berusia muda agar menjadi kebiasaan mereka berada di luar kawasan rumah,” katanya dalam program temu bual Program Malaysia Decides terbitan TVS, pada Khamis.
Disamping itu katanya, DBKU turut menggalakkan warga kota melakukan pengasingan sisa pepejal ke arah pengurusan sisa pepejal yang lebih mesra alam sekali gus menjadi tanggungjawab setiap individu.
“Justeru, langkah boleh diamalkan masyarakat kita dalam memastikan kawasan persekitaran bersih adalah dengan mengasingkan sisa pepejal sebelum membuangnya ke dalam tong sampah,” ujarnya.
Inisiatif ini jelasnya dimulakan di Kampung Tunku dan Kampung Malaysia Jaya pada tahun lepas dengan penyediaan tong sampah kitar semula bagi meningkatkan kadar kitar semula di kawasan itu.
Menurutnya, pemberian tong itu merupakan projek perintis pengasingan sisa pepejal dan kitar semula. – TVS