KUCHING, 10 Nov: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah melakukan tugas luar biasa dalam semua inisiatif untuk membantu rakyat.
Calon GPS Parlimen Petra Jaya Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ia menyumbang kepada respons positif anggota masyarakat terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Awal hari ini (semalam), saya telah melawat lebih 100 kedai di sepanjang kawasan Jalan Nanas dan masyarakat Cina di sana sangat mengalu-alukan. Mereka sangat menerima GPS.
“Saya percaya Premier kita melakukan kerja yang hebat dalam membantu orang ramai menerusi pelan pemulihan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
“Saya benar-benar percaya rakyat sentiasa bersama-sama dengan GPS,” katanya ketika ditemui media semasa Juh Berekot dengan FY di Pustaka Negeri Sarawak di sini, semalam.
Fadillah mendedahkan bahawa terdapat banyak program yang disusun melalui aktiviti kempennya.
Beliau berkata, program yang melibatkan golongan belia mendapat sambutan menggalakkan terutama mereka yang bakal menjadi pengundi kali pertama pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
“Walaupun menarik golongan muda adalah satu cabaran, tetapi saya lihat mereka percaya kepada GPS.
“Untuk itu, saya ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka,” tambahnya. -TVS