LIMBANG, 10 Nov: Pendapatan kerajaan Sarawak yang mencecah lebih RM10 bilion pada tahun ini membolehkan kerajaan meneruskan pelaksanaan projek dan program pembangunan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, rancangan pembangunan dilaksanakan kerajaan Sarawak adalah untuk manfaat rakyat di seluruh negeri termasuk Limbang.
“Banyak pembangunan yang dapat kita laksanakan. Ini adalah melalui kerajaan negeri kita yang mampu dan boleh memerintah negeri itu iaitu kerajaan GPS pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari.
“Alhamdulillah. Terima kasih Abang Jo kerana memberi projek danprogram pembangunan untuk kita di Limbang,” katanya pada Program Sumbangan Beras, Berasku Berasmu, Anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Daerah (PBSM) Limbang di sini pada Rabu.
Hadir sama, calon GPS Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah dan Pengerusi PBSM Limbang Chew Sing Liang.
Pada empat tahun lepas pendapatan kerajaan Sarawak adalah sekitar RM5 bilion dan RM6 bilion setahun. –
Pendapatan negeri yang bertambah menurutnya adalah susulan kebijaksanaan Abang Johari dalam merancang dan melaksanakan pelbagai langkah untuk mempelbagaikan hasil ekonomi.
Menurutnya, GPS telah menunjukkan prestasi cemerlang mentadbir negeri ini.
“Kerajaan Negeri Sarawak di bawah GPS telah pun menunjukkan prestasi yang sangat baik, pendapatan pendapatan tahunan bertambah dari semasa ke semasa,” ujarnya. – TVS.