KUCHING, 10 Nov : Konsert Getaran Jiwa pada minggu ini bakal menyaksikan jurulatih silat, pencipta lagu, penyanyi sambilan dan peniaga antara lapan peserta yang berentap untuk merebut dua tempat untuk mara ke peringat separuh akhir.
Berpengalaman menyertai Festival Lagu Melayu Asli dan pada masa yang sama jurulatih silat di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah, Hajijah Bujang berkata berazam untuk menjadi salah seorang finalis pada konsert Getaran Jiwa kelak.
“Harapan saya adalah agar saya dipilih untuk ke peringkat akhir nanti,” katanya ketika ditemu bual TVS, semalam.
Sementara peserta kelahiran Kuala Lumpur, Maya Hariyanto yang juga merupakan penyanyi sambilan di bawah naungan Armani Entertaiment berharap persembahannya pada Jumaat ini bakal mencuri perhatian juri.
Selain itu, Maya yang memiliki single sendiri berjudul “Semuanya Ada” turut menyimpan harap untuk mara ke peringkat akhir.
“Tipu jika saya berkata saya tidak mahu menang. Namun pada Jumaat nanti saya berharap boleh menghiburkan penonton dan sekali gus cuba menyampaikan persembahan saya dengan ikhlas,” ujarnya.
Sementara Mohamad Zamirul Kam mengakui dirinya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk Getaran Jiwa ini memandangkan sedang menimba pengalaman untuk menyanyi di atas pentas.
“Harapan saya tidaklah begitu tinggi kerana saya masih lagi ingin mencari pengalaman di pentas besar sepertinya,” ujarnya.
Situasi serupa bagi Muhammad Hidayatullah Saimi yang menjadikan Getaran Jiwa sebagai platform menimba pengalaman untuk terus maju dalam industri seni tanah air.
Beliau merupakan pembantu studio rakaman serta pernah mencipta lagu untuk juri tetap Getaran Jiwa Nurafizah Busman berharap kehadirannya akan mewarnai industri seni tempatan hingga mengharumkan nama Sarawak ke peringkat lebih tinggi.
“Jika ditanya apa harapan saya dalam Getaran Jiwa ini, saya berharap saya akan lebih mendapat pengalaman dan pengajaran yang baik dari program ini serta saya jugak berharap supaya akan ada penerus kepada industri muzik dalam Sarawak dan Malaysia umumnya,” ujarnya.
Konsert Getaran Jiwa minggu keempat bakal menampilkan penyanyi terkenal tanah air Liza Hanim sebagai juri jemputan dan seperti biasa Nurafizah Busman dan Dato’ Nash sebagai juri tetap.
Konsert Getaran Jiwa bakal berlangsung di Stadium MBKS Bintawa Kuching dan akan bersiaran di TVS saluran 122 Astro dan MYTV pada pukul 8:45 malam setiap Jumaat. – TVS