Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kedalaman Pulau Sari. Foto: TVS

PRU-15: Bina pelabuhan laut dalam angkat Lawas sebagai hab ekonomi serantau

ByOdleen Catherny

LAWAS, 9 Nov : Kerajaan Sarawak sedang mengkaji kawasan Pulau Sari untuk pembangunan pelabuhan laut dalam, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurut beliau lokasi strategik pulau berkenaan secara semulajadi sangat sesuai untuk pembangunan projek itu sekali gus bakal menjadikan Lawas sebagai hab ekonomi serantau.

“Kita telah melantik perunding untuk mengkaji kawasan itu dan mewujudkan satu pelan utama pembangunan industri seperti ini serta pelan untuk mewujudkan industri sokongan terutamanya perusahaan kecil sederhana turut diberi perhatian,” katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.

Katanya, selain usaha meningkatkan lagi perhubungan jalan raya di Lawas, kerajaan negeri juga komited menubuhkan pelabuhan untuk tujuan memperhebat perhubungan laut.

“Pelabuhan ini juga akan memberi manfaat kepada negeri jiran kita iaitu Sabah, negara jiran, Indonesia,” ujarnya ia berpotensi menarik kedatangan pelabur dari dalam dan luar negara untuk datang ke Lawas.

Pulau Sari. Foto: TVS

Sementara itu, beliau memberitahu peruntukan untuk membina pelabuhan tersebut bakal dikaji pada peringkat seterusnya.

“Pada peringkat ini kita belum lagi melihat secara menyeluruh dari segi kajian teknikalnya. Apa yang kita lakukan sekarang ini dari segi kajian kebolehlaksanaan dan tempat itu begitu sesuai sekali untuk dibangunkan pelabuhan,” jelasnya.

Namun begitu, Awang Tengah tidak mengulas lanjut sama ada peruntukan nanti disediakan oleh kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

“Ia bergantung sama ada projek ini akan dikendalikan oleh kerajaan negeri sepenuhnya atau secara kerjasama dengan kerajaan persekutuan,” jelasnya.

Menurut beliau, hasil kajian mendapati pembangunan pelabuhan laut dalam di Pulau Sari dan projek Lapangan Terbang Lawas baharu dijangka bermula serentak pada tahun hadapan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Sum Agong merangkap calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen Lawas pernah membawa agensi kerajaan Persekutuan membuat kajian terhadap Pulau Sari termasuk dua kajian daripada (Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Kajian mendapati bahawa paras kedalaman Pulau Sari adalah kira-kira 24 hingga 25 meter iaitu kerja pendalaman tidak perlu dilakukan memandangkan paras itu menepati piawaian pembinaan sebuah pelabuhan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan