Penyandang kerusi Parlimen Bera itu berkata apa yang diperlukan oleh calon Parlimen Sungai Buloh itu ialah mendapatkan sokongan daripada parti dan Barisan Nasional (BN) serta menang pada Pilihan Raya Umum pada satu masa nanti.
“Ok, memang KJ (Khairy Jamaluddin) kata itu (hasrat jadi PM dan memimpin UMNO) bukan untuk sekarang (tetapi) untuk masa akan datang. Memang dia layak untuk menjadi Perdana Menteri akan datang, kalau menang pilihan raya, dapat sokongan daripada parti, tentu sahaja KJ (Khairy Jamaluddin) salah seorang yang layak diangkat sebagai Perdana Menteri suatu masa nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis ramah mesra Perdana Menteri bersama warga Parlimen Ayer Hitam di Kompleks Balai Orang Ramai, Taman Suria, Ayer Hitam, dekat sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden MCA yang juga penyandang kerusi Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Pengerusi Barisan Nasional Johor Datuk Hasni Mohammad dan juga Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ismail Sabri berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan penyandang kerusi Parlimen Rembau itu yang menyuarakan hasrat untuk memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri satu hari nanti, dalam satu ceramah umum di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, malam tadi.
Khairy dipetik oleh media sebagai berkata sekiranya pengundi Sungai Buloh boleh mengundinya sekali gus memenangi kerusi parlimen itu, beliau bukan hanya akan membela nasib masyarakat di sana tetapi juga memimpin negara pada satu hari nanti.-TVS