KUCHING, 8 Nov: Kerajaan Sarawak menzahirkan rasa sedih pemergian pelatih Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) Bill Wolfson Lianie yang meninggal dunia ketika mengikuti Program Klinik Penjaga Gol NHDP di Akademi Hoki Raja Ahsman di Ipoh, Perak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengunjungi kediaman mendiang di Mambong, Jalan Puncak Borneo di sini, semalam.
Menurutnya, beliau dan kerajaan Sarawak menzahirkan rasa sedih mengenai pemergian Bill yang hanya berusia 14 tahun.
“Bagi pihak kerajaan negeri, bagi pihak Kementerian Belia dan Sukan ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, kita berasa sedih dengan apa yang belaku, tetapi Tuhan lebih menyayanginya.
“Tidak ada apa yang kita boleh lakukan, harapan saya ibu dan keluarga mendiang bersabar menerima ujian ini,” ujar Karim.
Baru-baru ini negara dikejutkan dengan kematian pelatih NHDP yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Menurut laporan, punca kematian Bill adalah akibat pembuluh darah ke otak pecah atau intracranjal hemorrhage.
Dalam pada itu beliau turut menzahirkan penghargaannya kepada Menteri Belia dan Sukan, Dato Seri Ahmad Faizal Azumu kerana mengambil tindakan segera dalam memastikan urusan membawa mendiang pulang ke Sarawak berjalan lancar. – TVS