MIRI, 9 Nov : Kekurangan fasiliti perubatan di Miri terutamanya untuk masalah jantung dan kanser menyukarkan pesakit di sini yang menghidapi penyakit tersebut memandangkan kebanyakan daripada mereka tidak mampu untuk menampung rawatan ke luar Miri, malah rata-rata mereka juga datang dari kalangan golongan berpendapatan B40.
Justeru untuk manifesto pertama calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) berazam untuk menaik taraf kualiti hidup masyarakat dari aspek kesihatan dengan menyediakan pusat perubatan untuk jantung dan kanser di Miri.
Calon GPS bagi kerusi Parlimen Miri, Jeffery Phang Siaw Foong, menekankan kepentingan kesihatan dan kesejahteraan di dalam manifesto untuk manfaat rakyat.
“Kesihatan dan kesejahteraan yang baik ini adalah gabungan dari aspek teras yang kita letak dalam manifesto. Mempunyai autonomi kesihatan untuk Sarawak. Sarawak adalah sama besar dengan Semenanjung Malaysia, tetapi kita hanya mempunyai satu hospital negeri di Kuching.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Piasau, Miri semalam.
Antara cadangan yang disenaraikan bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat dari aspek kesihatan ialah dengan menubuhkan pusat pakar onkologi, neurologi dan kardiologi.
“Kita sepatutnya menubuhkn hospital untuk penyakit jantung kerana untuk kes sakit jantung kita tidak boleh tunggu. Jika anda mengalami serangan sakit jantung, anda tidak mengharapkan untuk terbang ke Kuching untuk terus menerima rawatan. Kita perlu memilikinya segera. Oleh itu, pakar sakit jantung sangat penting di Miri,” katanya lagi.
Beliau berharap dengan bantuan sebegini dapat memudahkan lagi kehidupan rakyat Miri bagi mendapatkan rawatan dan bantuan kesihatan yang sewajarnya.-TVS