LIMBANG, 9 Nov: Belia perlu merebut peluang dalam bidang kemahiran teknikal untuk memenuhi keperluan tenaga mahir serta membuka peluang pekerjaan khasnya untuk mentransformasikan kawasan luar bandar.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerusi Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, beliau yakin itu antara perancangan dan pandangan jauh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam manifesto yang baru dilancarkan pada 6 November lepas.
“Mengambil contoh untuk mentransformasikan luar bandar, saya yakin antara intipatinya adalah mahu melihat belia-belia di kampung serta anak muda di kampung mahir dalam bidang kemahiran teknikal.
“Ini bermaksud, jika mereka terlatih dan mempunyai kemahiran mereka boleh menyumbang kepada pembangunan di kawasan luar bandar termasuklah di kampung kediaman mereka,” katanya kepada TVS pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Mengatai, di sini, semalam.
Tegas Hasbi lagi, belia tidak semestinya perlu ke bandar atau keluar dari kampung untuk mencari peluang pekerjaan, tetapi sebaliknya mereka boleh menjadi usahawan dengan pengalaman yang mereka ada untuk dibawa ke kampung.
“Tidak semestinya mereka perlu ke bandar atau keluar dari kampung. Sebab itu saya katakan jika mereka ada kemahiran tidak semestinya dalam bidang akademik, tetapi kemahiran serta pengalaman yang mereka ada boleh menjadikan mereka sebagai seorang usahawan yang membuka peluang pekerjaan kepada orang lain di kampung-kampung. Itu yang kita katakan transformasi,” katanya lagi.
Sebelum ini, Abang Johari memberitahu anak Sarawak yang sedang menuntut dan bekerja di Semenanjung Malaysia diharap akan pulang dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak.
Ia katanya termasuklah dari pelbagai jurusan khususnya biokimia yang boleh membantu menarik minat pelabur ke Sarawak.-TVS