KUALA LUMPUR, 8 Nov : Pengundi di Sarawak didapati lebih cenderung untuk memilih parti politik sebagai keutamaan untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, dedah kajian oleh sekumpulan penyelidik di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Menerusi kajian oleh Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) UUM itu, sebanyak 75. 8 peratus responden di Bumi Kenyalang juga bersedia menyokong calon muda yang ditampilkan.
“Dapatan kajian membabitkan seramai 89 responden itu juga menunjukkan sebanyak 69.6 peratus bersedia untuk menyokong calon wanita,” jelas laporan berkenaan yang diterbitkan semalam.
Di peringkat nasional pula, kajian selama dua bulan berakhir 5 November menunjukkan pengundi turut memilih parti politik berbanding manifesto.
“Selain Sarawak, pengundi di Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah, Selangor dan Terengganu turut memberi keutamaan mengundi kepada parti politik,”jelas CeTMA.
Namun data di Johor, Perak, Perlis dan Pulau Pinang berbeza apabila responden memilih manifesto dan isu sebagai keutamaan untuk mengundi.
Secara keseluruhan kajian berkenaan yang membabitkan 2,716 responden mendapati 36.9 peratus mengakui akan mengundi berdasarkan parti politik berbanding manifesto hanya sebanyak 34.3 peratus.
Calon yang bertanding sebagai keutamaan mengundi pula menunjukkan keputusan sebanyak 28.8 peratus.
Peningkatan kos sara hidup dan keadaan ekonomi semasa menjadi isu tunggak pengundi dengan 45.1 peratus dan 37.2 peratus responden menyatakan ia sebagai kegusaran utama mereka menjelang PRU-15. -TVS