Persoalan sama ada memilih parti tempatan yang dilihat sebagai ‘hero’ memperjuangkan hak Sarawak berbanding parti nasional dengan label ‘semenanjung’ menjadi antara ‘cakap-cakap’ politik di Bumi Kenyalang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Landskap politik Sarawak pada masa ini menampilkan banyak barisan parti yang membawa identiti tempatan seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS), selain parti tempatan lain yang antaranya seperti Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).
GPS merupakan gabungan yang terdiri dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang sebelum ini merupakan anggota Barisan Nasional (BN) sebelum mereka mengumumkan keluar dari gabungan itu pada Jun 2018.
Turut memasuki gelanggang di Sarawak adalah parti-parti nasional seperti DAP, PKR dan Amanah di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH) serta parti PAS dan Bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN), sementara BN mengambil ketetapan untuk tidak bertanding di negeri itu.
Menurut Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Datuk Dr Jayum Jawan, naratif identiti sememangnya penting dalam landskap politik Sarawak, namun rekod pencapaian dalam memperjuangkan hak Sarawak bakal menjadi penentu besar bagi pengundi membuat pilihan.
“Di Sarawak, parti-parti lokal ini dilihat sebagai pejuang hak Sarawak kerana mereka begitu bersemangat dalam perkara itu. Parti nasional dan dari semenanjung pula tidak dilihat begitu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Jayum berkata, pencapaian parti daripada Semenanjung Malaysia seperti DAP dan PKR setakat ini tidaklah begitu memberangsangkan walaupun telah bertapak di Bumi Kenyalang ini sejak beberapa tahun.
“Walaupun PKR telah melantik beberapa anak tempatan mengetuai parti itu di peringkat Sarawak serta nasional namun semuanya tidak dapat mengangkat PKR ke aras lebih baik dari segi menembusi Sarawak.
“DAP pula sememangnya mendapat sokongan sebelum ini tetapi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Disember tahun lalu, sokongan kalangan masyarakat Cina sudah beralih kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), namun mereka dilihat masih boleh memberikan cabaran di kawasan bandar utama Sarawak,” katanya.
Mengulas mengenai pembentukan kerajaan Persekutuan, Jayum berkata jumlah 31 kerusi Parlimen di Sarawak tidak memungkinkan parti tempatan seperti GPS membentuk kerajaan Persekutuan secara bersendirian, namun jumlah itu boleh menjadi kuasa penentu, terletak di tangan mereka.
“Jika sebelum ini, GPS akan memilih rakan (di peringkat nasional) sebelum berlawan tetapi kali ini mereka memilih untuk berlawan dulu kemudian mencari rakan yang menang dan yang boleh menawarkan pakej terbaik pada mereka,” katanya.
Sementara itu, Felow Kanan Majlis Profesor Negara Datuk Dr Jeniri Amir berkata, selain identiti, ideologi yang dibawa oleh parti yang bertanding juga menjadi perkara yang diambil kira oleh pengundi Sarawak.
“Jika kita lihat PAS sebagai contoh, mereka sudah cuba bertanding di Sarawak tetapi ideologi yang dibawa mereka itu tidak serasi dengan budaya dan amalan agama di Sarawak. Faktor itu juga harus diambil kira parti-parti nasional yang mahu datang ke Sarawak,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November.
Jumlah terkini pemilih berdaftar di Sarawak yang direkodkan SPR ialah seramai 1,943,074 orang. -TVS