KUCHING, 7 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut merangkumkan keperluan usahawan kecil, peniaga dan penjaja di dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) memperlihatkan kumpulan itu tidak dipinggirkan.
Tinjauan TVS di sekitar Kampung Telaga Air menyaksikan para penduduk terutamanya penjaja menyambut baik teras ketujuh belas manifesto parti tersebut.
Teras berkenaan merangkumi kepada penyediaan prasarana, geran, akses pasaran dan latihan keusahawanan kepada para usahawan kecil dan sederhana (SME).
Menurut Hanifah Junaidi yang telah berniaga selama 27 tahun menyatakan keterujaan sekiranya diberikan kemudahan berkenaan kerana dia terlepas permohonan Bantuan Sarawakku Sayang (BKSS) sebelum ini.
“Sekiranya ada bantuan untuk kami tentu saya mahu, jika tidak dalam bentuk wang, barangan keperluan juga boleh untuk membantu saya berniaga. Gerai ini saya bina sendiri dan sekarang sudah usang, saya harap diberikan tempat lebih selesa untuk berniaga,” katanya.
Pendapat serupa diluahkan oleh Norlia Ramdi, 36, kerana melihat kawasan berniaga yang kondusif sebagai satu keperluan untuk memudahkannya mejalankan perniagaan tanpa perlu menghiraukan cuaca semasa.
“Syukur alhamdulillah sekiranya kami diberikan geran dan memiliki tapak persendirian. Dengan cuaca yang tidak menentu kualiti barang jualan kami akan terjejas disebabkan hujan,” katanya.
Sementara sebagai pelanggan, Dora Musili percaya manifesto GPS mampu membantu meningkatkan kualiti perniagaan usahawan-usahawan ini lebih-lebih lagi yang baru sahaja berkecimpung dalam dunia perniagaan.
Katanya, kemudahan dan bantuan yang dijanjikan dalam manifesto tersebut akan menjadi membuka jalan untuk meningkatkan aktiviti sosioekonomi di kawasan tersebut. -TVS