KAPIT, 8 Nov: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ‘turun padang’ untuk menyediakan kemudahan e-dompet untuk warga Kapit.
Seramai 600 warga Kapit yang terdiri daripdaa peruncit dan orang ramai menikmati inisiatif pendigitalan sektor Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI), Food Bank, Sara Hidup, e-baucar dan Program Usahawan Muda (PUM) itu di Program Pendayaupayaan Pengguna di Dataran Song, di sini hari ini.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Sekretariat Perdagangan Pengedaran Perniagaan Dan Industri Perkhidmatan (SPIP), Dr Syaharudin Shah Mohd Noor, Program Pendayaupayaan Pengguna merupakan salah satu inisiatif dalam menyahut misi kerajaan untuk memastikan pengguna mendapat pendidikan kepenggunaan yang sewajarnya.
“Program ini memberi manfaat iaitu kita bawa secara langsung rakan strategik seperti S-Pay, Boost dan Touch n Go untuk menjelaskan kepada penduduk tentang e-dompet,” ujarnya ketika kepada TVS sambil mengakui masyarakat menyambut baik serta ingin mengetahui lebih kanjut mengenai pendigitalan sektor peruncitan.
Tambahnya, orang ramai yang hadir turut kelihatan memuat turun aplikasi e-dompet di telefon bimbit masing-masing.
Dr Syah mendedahkan program yang berlangsung dua hari di Song dan Kapit itu menjadi platform untuk memberi pendedahan dan advokasi secara lebih inklusif meliputi pelbagai pengguna selain menyantuni keperluan rakyat terutamanya di luar bandar.
Sementara tinjauan TVS mendapati rata-rata warga Song menyambut baik inisiatif KPDNHEP tersebut di lokasi seperti Anna Chabo yang beranggapan program tersebut mendidik masyarakat luar bandar mengenai pendigitalan secara lebih dekat.
“Selama ini kami hanya dengar istilah e-dompet dan digital sahaja, tetapi tidak begitu memahami perkara itu. Namun kini kami sedikit sebanyak mengetahui tentang inisiatif ini,” katanya.
Pendapat serupa diakui penerima Baucar Sara Hidup dan bantuan ‘Food Bank’, Tan Mei Ling, 39, sambil berharap inisiatif berkenaan terus dilaksanakan di Song.
“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan sebab selain membantu kami dari segi keperluan, ianya juga sangat membantu kami memahami e-dompet atau pendigitalan,” katanya.
Terdahulu, program tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi diikuti program menyantuni peniaga kecil di daerah Song.-TVS