KUCHING, 8 Nov : Kerajaan Sarawak komited membela keperluan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) agar mereka ini dapat aktif dalam bidang sukan, kata Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Mohd Razi Sitam.
Menurut beliau, baru-baru ini kontinjen Sarawak berjaya mencipta lapan rekod baharu pada temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2022.
“Kejayaan ini membuktikan kontinjen Sarawak mampu memberi saingan dalam kejohanan itu seiring dengan keprihatinan kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai bantuan dan keperluan,” katanya.
Mohd Razi berkata demikian pada Majlis Penghargaan Kontinjen Para Sukma 2022, Sarawak di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut beliau kontinjen Sarawak pada penyertaan Para Sukma ke-20 yang berlangsung selama 9 hari yang bermula pada 30 Oktober sehingga 6 November 2022 melibatkan seramai 314 orang yang terdiri daripada 148 orang atlit, Jurulatih, pasukan kesihatan dan sukarelawan terlibat.
“Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sokongan kerajaan negeri menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang diterajui Datuk Seri Fatimah Abdullah kerana menyalurkan peruntukan yang besar bagi memastikan para atlet dapat menyertai kejohanan kali ini,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Misi (DCM) Para Sukma Sarawak 2022 menyatakan walaupun Sarawak kali ini gagal mempertahankan kejuaraan namun begitu komitmen para atlet memberi saingan sengit kepada pasukan negeri lain.
Terdahulu, pada kejohanan kali ini yang melabuhkan tirainya pada Ahad, Sarawak hanya ketinggalan empat pingat emas berbanding Sabah iaitu 54 pingat emas manakala Sarawak menduduki tempat kedua dengan 50 pingat emas. – TVS