LIMBANG, 8 Nov: Jangan salah ‘conteng’, itu kata calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah yang mengingatkan rakyat supaya turun menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November nanti.
Menurutnya, rakyat perlu peka dalam membuat pilihan tepat bagi memastikan kestabilan politik berterusan.
“Kita semua sudah sedia maklum 19 November ini adalah hari mengundi, jadi apa yang saya harapkan adalah supaya rakyat memilih bakal pemimpin yang berwawasan dan mempunyai visi dan misi yang jelas demi manfaat semua,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Babai baru-baru ini.
Tegas Hasbi, rakyat perlu berwaspada supaya laungan ‘hari ini kita menang, esok harga minyak turun,’ serta semua janji manis tidak berulang.
Justeru rakyat perlu bijak memilih parti termasuk tidak memilih parti yang berdepan masalah seperti kejatuhan pimpinan kerajaan sebelum ini.
“Sebelum ini, mereka berjaya menghasut dengan janji-janji manis, termasuklah ‘hari ini kita menang esok harga minyak turun’ dan banyak lagi, itu kata mereka, tapi kita nak, rakyat bijak kerana kita tidak mahu rakyat ditabur dengan janji-janji manis sahaja,” katanya.-TVS