KUCHING, 8 Nov: Selaras dengan manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam teras ke-16 yang mahu menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat Sarawak, belia harus mengetengahkan kepakaran dan kelayakan mereka dalam membntu membangunkan Sarawak.
Bagaimanapun, Kerajaan Sarawak mesti menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka kerana amat penting buat anak muda bagi menjamin hala tuju dan menetapkan tujuan mereka pada masa yang akan datang.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Hamrila Abdul Latip, pentingnya buat kerajaan untuk membuka pekerjaan yang bersesuaian dengan keperluan sektor dan juga industri.
“Dalam pada masa yang sama, ini akan membuatkan antisipasi kepada pasaran yang semakin berkembang dengan perkembangan yang sedia ada,
“Contohnya Sarawak boleh berkolaborasi dengan Indonesia yang kini sedang membina ibu negara yang baharu yang terletak di Kalimantan supaya mereka tidak akan ketinggalan dan dapat memanfaatkan penyertaan mereka dalam sesuatu pekerjaan,” jelasnya dalam program bual bicara Malaysia Decides terbitan TVS.
Hamrila juga menambah bahawa ekonomi kini sedang berkembang dengan pesatnya dan bukan baharu sahaja berginjak.
“Proses kita berkembang perlulah membawa bersama terutamanya golongan muda untuk saling kerjasama dengan menggunakan keterujaan yang ada dalam diri mereka,
“Oleh itu, anak-anak muda ini perlu diberikan pendidikan yang bersesuaian bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan yang makmur dan baik untuk dinikmati bersama,” katanya. – TVS