KAPIT, 7 Nov: Mentransformasikan kawasan luar bandar, kampung dan rumah panjang iaitu teras lapan dalam manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi antara aspirasi yang dekat di hati penduduk di Kapit.
Hasil tinjauan TVS, rata-rata penduduk di Kapit menyambut baik inisiatif sedemikian terutamanya berkaitan mentransformasikan ekonomi luar bandar dengan menyediakan peruntukan bagi meningkatkan kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan, bekalan eletrik, bekalan air dan jaringan telekomunikasi.
Menurut Tuai Rumah Sungai Sibau Ulu, Unjah Engkang, 55, sekiranya ada jalan penghubung yang baik menghubungkan rumah panjang dan ladang mereka akan lebih memudahkan mereka membawa hasil pertanian untuk di jual dalam skala yang besar.
“Seperti yang kita sedia maklum, kerajaan kini giat menggalakkan golongan petani terutamanya di rumah panjang untuk menjalankan kegiatan pertanian dan penternakan secara komersial dan besar-besaran. Namun yang menjadi kekangan sekarang ini terutamanya di Kapit ialah ketiadaan akses jalan yang baik dari rumah panjang ke ladang. Sekiranya ada jalan, maka mudah untuk kita bawa hasil untuk menjual hasil tanaman dan ternakan.
“Jadi ini merupakan komitmen yang baik dari GPS. Kita sendiri dapat lihat juga bahawa banyak jalan di Kapit ini sudah dinaik taraf dan dibina yang memudahkan rayat untuk pergi ke pasar Kapit,” katanya.
Sementara itu, Untang Jirau, 70, pula menyambut baik manisfesto GPS yang mahu memodenkan dan mengkomersialkan sektor pertanian dan makanan seperti yang terkandung dalam teras 13.
“Kami menyambut baik sekiranya kerajaan mahu membangunkan sektor pertanian di tanah NCR kerana sekarang ini hampir semua infrastruktur asal kami ada seperti bekalan air, jalan, dan jaringan internet. Oleh itu kami sangat terbuka sekiranya tanah kami dibangunkan sebab di rumah panjang kami memang bergantung dengan sektor pertanian dan penternakan.
“Sekarang ini pun sangat mudah untuk kami membawa hasil pertanian ke pasar untuk dijual. Cuma kami perlukan banyak lagi program pembangunan berasaskan pertanian,” ujarnya.
Katanya, kerajaan GPS sentiasa komited untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar dan menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk penduduk kampung dan penghuni rumah panjang demi keselesaan rakyat.-TVS