KUALA LUMPUR, 7 Nov : Manifesto bertemakan Menjamin Sarawak Stabil, Maju dan Makmur yang dilancarkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan bersifat retorik sebaliknya dirangka dengan memahami keperluan rakyat negeri itu, kata Dr Muhammad Tawfiq Yaakub.
Penganalisis politik di Universiti Malaya (UM) itu berkata, manifesto yang mengandungi satu hala tuju, lima tonggak utama, 25 teras serta 215 komitmen juga dirangka berdasarkan pencapaian dan prestasi di Sarawak.
“Ini merupakan tindakan hebat dan luar biasa, mereka (GPS) tidak sekadar menabur janji,”katanya kepada TVS.
Dr Muhammad Tawfiq berkata demikian ketika berkongsi pandangan mengenai manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) GPS yang dilancarkan oleh Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg malam tadi.
Lima tonggak utama manifesto GPS antaranya merangkumi politik, sosial, ekonomi dan kewangan stabil serta mampan diterajui kepimpinan yang mengutamakan masa depan Sarawak.
Ia turut menekakan pembangunan infrastruktur dan kemudahan bandar dan luar bandar dititikberatkan demi kesejahteraan rakyat.
“Seterusnya GPS juga menekankan transformasi ekonomi dan pelbagai sumber kewangan mampu mempertingkatkan pendapatan bagi memacu pembangunan Sarawak.
“Latihan modal insan dan keadilan sosial serta agama diutamakan dan tadbir urus cekap dan berintegriti berprestasi tinggi pemangkin kemajuan Sarawak,”kata Abang Johari.
Meneliti manifesto berkenaan, Muhammad Tawfiq berkata, ini merupakan contoh kematangan politik yang ditunjukkan GPS kerana menawarkan manifesto yang merasai denyut nadi dan keperluan rakyat.
“Mereka (GPS) tidak sekadar berjanji atau memperdaya pengundi hanya untuk mendapatkan kuasa,”katanya.
Katanya, sekiranya kematangan politik GPS dicontohi oleh parti – parti politik lain, Malaysia akan bergerak menjadi sebuah negara yang hebat pada masa akan datang. -TVS