SANDAKAN, 7 Nov : Warisan optimis cadangan menghidupkan semula ‘Blok Borneo’ mampu direalisasikan susulan respon positif Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung isu itu.
Naib Presiden Parti Warisan, Datuk Junz Wong mengesahkan pemimpin Warisan telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin GPS minggu lepas.
“Saya tidak boleh mendedahkan perincian pertemuan itu, kita sudah bertemu mereka di Sarawak, kalau tidak kita tidak berani cakap begitu, mereka memberi respon positif.
“Walaupun tidak menyentuh siapa, tetapi hanya Warisan satu-satunya parti yang tidak bekerjasama dengan parti dari Semenanjung dan tetap dengan prinsip sama seperti GPS,” katanya dalam satu sidang media di Sandakan.
Menurut Junz, Warisan sudah mulai mempromosikan Blok Borneo sebagai ‘king maker’ kerajaan baharu sejak sembilan bulan lalu, namun belum mendapat respon dari GPS pada masa itu.
“Apabila kini negara berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), GPS mulai memberi respon terhadap cadangan itu.
“Saya ada nampak video Datuk Karim yang menyatakan sekiranya parti tempatan boleh menang di Sarawak, beliau berharap Sabah juga begitu agar kedua-dua negeri boleh mewujudkan satu blok,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyelar tindakan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memainkan isu yang sama seolah-olah gabungan itu ketandusan modal untuk berkempen dalam PRU-15.
Bagaimanapun, beliau yakin GPS tidak berminat untuk bekerjasama dengan GRS dan meminta pemimpin GRS agar tidak bermimpi.
“Saya tidak rasa mereka akan ada kerjasama membentuk Blok Borneo kerana pemimpin GPS secara jelas tidak mahu bergabung dengan mana-mana parti dari Semenanjung sedangkan GRS itu sendiri adalah Bersatu dan mereka juga bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) yang merupakan parti dari Semenanjung,” jelasnya. –TVS