KUCHING, 6 Nov: Kekurangan diri tidak mematah semangat tiga Orang Kurang Upaya (OKU), dua darinya warga emas menyertai larian Run4Mankind 2022 yang berlangsung di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, walaupun hujan lebat sejak jam 6 pagi tadi di bandaraya Kuching.
Berkerusi roda ketiga-tiga OKU tersebut yang mewakili Persatuan OKU Kuching (House Of Joy) menamatkan larian sejauh satu kilometer dengan bantuan sukarelawan juga dari persatuan sama.
Pengasas Persatuan, Shen Chiu Hsiang, 61, berkata, kejayaan menamatkan larian itu membuktikan kemampuan OKU seiring masyarakat normal yang lain walaupun menyedari kekurangan yang ada pada diri.
“Saya mahu mencabar diri sebagai galakan kepada OKU lain untuk menyertai sukan rekreasi seperti ini, program ini juga adalah satu acara yang menarik anjuran MBKS,” katanya ketika ditemui selepas larian itu.
Dua lagi rakannya dalam persatuan OKU Lim Lay Lee, 49, dan Puah Sor Har, 65, turut menyokong program itu ke arah melahirkan masyarakat yang sihat.
Program larian itu adalah anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia Cawangan Negeri Sarawak dengan kerjasama MBKS.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah hadir melepaskan peserta larian sekitar jam 7 pagi tadi.
Turut hadir ialah Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng dan Pengerusi MRC Sarawak Chapter, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam-TVS