Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama pemimpin GPS pada majlis pelancaran manifesto GPS di Kuching pada malam ini. Foto TVS

PRU-15: Manifesto GPS menjamin Sarawak stabil, maju dan makmur

KUCHING, 6 Nov: Satu hala tuju, lima Tonggak utama, 25 Teras dan 215 Komitmen merupakan perkara yang dimuatkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dilancarkan pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menerusi kata-kata Amanat Pengerusi GPS dalam buku manifesto yang bertemakan ‘Menjamin Sarawak Stabil, Maju dan Makmur’, Abang Johari berkata  PRU-15 menentukan hala tuju dan masa depan rakyat Sarawak dan Malaysia. 

“Sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia, rakyat Sarawak mesti memastikan kemenangan besar dan bergaya GPS. 

“Para pengundi Sarawak yang dicintai perlu membuat pilihan bijak dengan memilih GPS demi kestabilan politik dan sosial, kemajuan dan pembangunan serta kemakmuran ekonomi,” katanya menerusi buku manifesto yang menitikberatkan perihal ‘Utamakan Sarawak’.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, sebagai gabungan parti politik tempatan yang berwibawa dan mengutamakan kepentingan Sarawak, GPS komited memperjuangkan dan mengembalikan hak dan keistimewaan Sarawak selaras dengan aspirasi asal penubuhan Malaysia. 

Mandat penuh pengundi Sarawak membolehkan GPS mempunyai suara yang kuat di Parlimen. Perwakilan Sarawak yang banyak akan menentukan undang-undang yang digubal memberi manfaat kepada Sarawak. 

Kepentingan Sarawak juga akan diutamakan dalam penggubalan dasar, inisiatif dan peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan di Sarawak, jelasnya.

“Kita perlu mengelak daripada keadaan politik Malaysia yang tidak stabil sekali lagi ketika negara berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global. Sokongan kuat kepada GPS penting demi masa depan Sarawak dan Malaysia yang lebih gemilang dan terjamin.

“Saya merayu agar rakyat Sarawak memberi sokongan padu dan mengundi GPS demi menjadikan Sarawak wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” ujarnya.  

Berikut ialah lima Tonggak utama manifesto GPS:

1. Politik, sosial, ekonomi dan kewangan stabil dan mampan diterajui kepimpinan yang mengutamakan masa depan Sarawak.

2. Pembangunan infrastruktur dan kemudahan bandar dan luar bandar dititikberatkan demi kesejahteraan rakyat. 

3. Transformasi ekonomi dan pelbagai sumber kewangan mampu mempertingkatkan pendapatan bagi memacu pembangunan Sarawak.

4. Latihan modal insan dan keadilan sosial serta agama diutamakan.

5. Tadbir urus cekap dan berintegriti berprestasi tinggi pemangkin kemajuan Sarawak.

Dua puluh lima (25) Teras:

1. Menjamin kestabilan dan kekuatan politik Sarawak.

2. Mempertahankan hak Sarawak dalam Persekutuan Malaysia selaras dengan MA63, Laporan IGC dan Perlembagaan Sarawak serta Perlembagaan Persekutuan.

3. Menjamin dan mempertahankan hak rakyat Sarawak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

4. Memelihara kedaulatan dan menjaga keselamatan Sarawak.

5. Memperkasa perkhidmatan kerajaan yang berteraskan integriti dan tadbir urus yang baik.

6. Membangunkan infrastruktur asas, pengangkutan jalan raya, jambatan, pelabuhan dan lapangan terbang.

7. Memperluas liputan dan kualiti bekalan air, elektrik, menara telekomunikasi dan perkhidmatan Internet.

8. Mentransformasikan kawasan luar bandar, kampung dan rumah panjang.

9. Membangunkan bandar dan bandar raya moden, sejahtera, selesa dan selamat.

10. Membangunkan modal insan melalui pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional berkualiti.

11. Memperluas akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan.

12. Merancakkan pembangunan sektor pembuatan, perkhidmatan, pelancongan dan industri kreatif untuk memacu ekonomi Sarawak.

13. Memodenkan dan mengkomersialkan sektor pertanian dan makanan.

14. Membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan petani, penternak dan nelayan.

15. Meningkatkan hasil Sarawak dan meneroka industri baharu berasaskan teknologi hijau.

16. Menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat Sarawak.

17. Menyediakan prasarana, geran, akses pasaran dan latihan keusahawanan kepada golongan usahawan kecil dan sederhana, peniaga serta penjaja,

18. Melaksanakan dasar inklusif, kebebasan beragama, mengamalkan adat resam, budaya, seni warisan demi keharmonian dan perpaduan sosial.

19. Menjaga kebajikan warga emas, golongan kelainan upaya dan kanak-kanak serta membantu golongan B40 untuk kelangsungan hidup.

20. Mengiktiraf Hak Tanah Adat Bumiputera (NCR) dan meneruskan usaha pengukuran tanah.

21. Menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat Sarawak, memperbanyak skim penempatan semula serta pembesaran kampung, program baik pulih rumah dan bantuan pembinaan rumah panjang.

22. Memperkasa penglibatan wanita dalam pembangunan Sarawak.

23. Memastikan penyertaan aktif golongan muda dalam pembangunan Sarawak.

24. Membangunkan bidang sukan untuk melahirkan masyarakat sihat dan jaguh sukan terbilang.

25. Memelihara dan menjaga alam sekitar untuk generasi sekarang dan masa depan.

Majlis pelancaran manifesto itu disempurnakan Abang Johari di sini, malam ini. Abang Johari dan Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berucap pada majlis berkenaan.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Presiden Parti Rakyat Sarawak Datuk Joseph Salang Gandum.

PRU-15 merupakan pilihan raya umum pertama bagi GPS yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Rakyat (PDP).

GPS meletakkan 31 calon di semua kerusi Parlimen di Sarawak. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari mengundi, 15 November undi awal, manakala hari penamaan calon pada 5 November.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan