Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama pemimpin GPS pada majlis pelancaran manifesto GPS di Kuching pada malam ini. Foto TVS

Manifesto: GPS berjaya tuntut 13 perkara hak Sarawak

KUCHING, 6 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai rekod prestasi cemerlang dan ini wajar dijadikan panduan para pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Manifesto GPS PRU-15 yang dilancarkan Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini pada malam ini menggariskan 15 prestasi cemerlang pentadbirannya.

1. GPS telah berjaya menuntut 13 Perkara secara pentadbiran berkenaan hak Sarawak daripada kerajaan Persekutuan. Ini merangkumi perancangan projek pembangunan persekutuan, jawatan kakitangan awam persekutuan, kemasukan pelajar Sarawak ke universiti awam serta memperkukuh fungsi dan kerjasama jabatan negeri dan Persekutuan di Sarawak.

2. Kerajaan GPS berjaya meminda Perlembagaan Persekutuan dan mengembalikan status Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam pembentukan Malaysia pada 1963. ‘Hari Malaysia’ juga telah diiktiraf dan kuasa diberi kepada Sarawak untuk menentukan ras-ras asli melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

3. Pemimpin Sarawak dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut membincangkan tuntutan mengembalikan 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sarawak dan Sabah yang turut disokong oleh penggubal undang-undang kedua-dua negeri. Pengembalian itu telah dipersetujui secara prinsip oleh Kerajaan Persekutuan.

4. Kerajaan GPS berjaya menuntut wakil Sarawak sebagai Ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia dan telah dipersetujui secara prinsip oleh Kerajaan Persekutuan. Perjanjian Komersial bersama Petronas membolehkan Sarawak bergiat aktif dalam industri minyak dan gas. Cukai Jualan Negeri (SaST) sebanyak lima peratus ke atas produk petroleum telah meningkatkan jumlah hasil Sarawak melebihi RM10 bilion setahun untuk melaksanakan banyak projek pembangunan di bandar dan luar bandar.

5. Golongan muda memperoleh banyak manfaat kerana segala yang dirancang dan dilaksanakan adalah untuk masa depan mereka. Antara inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan termasuklah bidang digital dan teknologi hijau seperti tenaga hidrogen dan kelestarian alam sekitar. Bidang pendidikan dan latihan teknikal akan terus diperkasa bagi meningkatkan kebolehan dan kemahiran generasi muda untuk menyumbang kepada pembangunan Sarawak.

6. Kerajaan GPS terus menjamin hak pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), akses kepada pendidikan dan kesihatan serta membantu semua peringkat masyarakat di Sarawak.

7. Kerajaan GPS berjaya mewujudkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial agar usaha pembangunan dapat diberi tumpuan sepenuhnya.

8. Melalui pelbagai inisiatif futuristik dan dasar strategik ekonomi, hasil kerajaan GPS dapat ditingkatkan. Dengan simpanan yang kukuh dan sumber pendapatan alternatif, Sarawak berupaya membentangkan bajet terbesar di negara ini, iaitu lebih RM10 bilion setahun untuk tujuan pembangunan dan kesejahteraan hidup rakyat.

9. Kerajaan GPS berjaya melaksanakan banyak program dan projek pembangunan seperti jalan raya, jambatan, bekalan air, elektrik, telekomunikasi, Internet, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan perumahan. Pelaksanaan program dan projek ini terus diperhebat dan dipercepat demi kesejahteraan rakyat.

10. Sebanyak 120 inisiatif strategik yang bersifat menyeluruh yang berimpak tinggi berpaksikan falsafah politik mengutamakan kepentingan, kebajikan dan masa depan rakyat Sarawak dilancarkan dan dilaksanakan dengan jayanya sejak 2017.

11. Usaha pembangunan ini merancakkan aktiviti ekonomi Sarawak sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur asing dan domestik. Pelaburan ini berjaya mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan limpahan perniagaan untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat.

12. Kerajaan GPS berjaya melaksanakan sembilan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bernilai lebih RM6.7 bilion semasa rakyat terkesan akibat pandemik COVID-19. Bantuan dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan memberi manfaat besar kepada rakyat Sarawak dan kini mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

13. Kerajaan GPS memperkenalkan dan melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk memacu pembangunan Sarawak ke arah ekonomi maju berpendapatan tinggi. Pelbagai inisiatif yang berteraskan kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sosial serta kelestarian alam sekitar dirancang dan dilaksanakan.

14. Demi masa depan anak Sarawak yang lebih terjamin, Kerajaan GPS menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak (Sarawak Sovereign Wealth Future Fund).

15. Kerajaan GPS menghormati kebebasan beragama dan adat resam rakyat pelbagai kaum dalam melahirkan masyarakat yang bersatu padu.

Majlis pelancaran manifesto itu disempurnakan Abang Johari di sini pada malam ini. Abang Johari dan Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berucap pada majlis berkenaan.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Presiden Parti Rakyat Sarawak Datuk Joseph Salang Gandum.

PRU-15 merupakan pilihan raya umum pertama bagi GPS yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Rakyat (PDP).

GPS meletakkan 31 calon di semua kerusi Parlimen di Sarawak. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari mengundi, 15 November undi awal, manakala hari penamaan calon pada 5 November.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan