Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata walaupun kes harian COVID-19 menunjukkan peningkatan, namun keadaan masih terkawal berdasarkan kepada data kemasukan pesakit ke hospital akibat jangkitan yang rendah.
“Setakat ini terkawal, macam Omicron walaupun kes naik tapi kemasukan hospital tidak tinggi dan kadar kematian rendah, jadi kita anggap ini adalah gelombang jangkitan tapi dari segi keterukan, tidak berapa teruk,” katanya ketika ditanya mengenai peningkatan kes COVID-19 menjelang PRU15.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Kempen Calon Sungai Buloh Sarapan di sebuah restoran di Kota Damansara di sini hari ini.
Khairy berkata KKM pada masa sama telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) PRU15 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diumumkan dalam masa terdekat.
Katanya, jabatan kesihatan di setiap negeri turut diarahkan untuk menyediakan pegawai kesihatan tambahan bagi membantu pesakit COVID-19 keluar mengundi di pusat pengundian masing-masing.
“Cuma kita tidak mahu mereka (pesakit COVID-19) berada di tempat pusat mengundi terlalu lama, pesakit daftar, tunjuk pegawai kesihatan yang ditempatkan di pusat mengundi digital MySejahtera, tidak perlu beratur, mengundi dan terus keluar,” katanya.
Oktober lepas, Khairy memaklumkan kementeriannya akan melaksanakan SOP COVID Safe Election, dengan mengesyorkan individu positif COVID-19 dibenarkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15.
Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga calon BN di kerusi Parlimen Sungai Buloh berkata beliau bakal mengupas beberapa isu tempatan dalam manifesto yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
“Strategi saya adalah untuk kita mengkhususkan kempen ini, pertandingan di Sungai Buloh adalah berkenaan isu di Sungai Buloh. Kemudian kita nak tahu apa yang saya perlu buat dan isu yang bakal diperjuang di peringkat nasional.
“Mereka juga ingin melihat saya bukan sahaja sebagai ahli Parlimen tetapi juga mampu memainkan peranan di peringkat lebih tinggi. Saya perlu berjumpa penduduk melalui perjumpaan bersemuka,” katanya.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berdepan saingan tujuh penjuru termasuk calon Pakatan Harapan (PH) Datuk R. Ramanan dari PKR, Mohd Ghazali Md Hamim (PN-PAS), Mohd Akmal Mohd Yusoff (Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia (PRM)) serta dua calon Bebas – Nurhaslinda Basri dan Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff.
Pada 2018, R. Sivarasa dari PKR memenangi kerusi itu dengan majoriti 26,634 undi. Penyandang itu tidak mempertahankan kerusi berkenaan berikutan masalah kesihatan. -TVS