SIBU, 5 Nov: Lima calon bagi kerusi Parlimen Kanowit yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini berkemungkinan besar tidak akan mendapat banyak undi daripada Undi18 dan mereka yang berumur 19 dan 20 tahun.
Penyandang kerusi Parlimen Kanowit, Dato Aaron Ago Dagang,64, berkata, terdapat kira-kira 10,000 pengundi baharu termasuk Undi18 dan mereka yang berusia 19 dan 20 tahun di Kanowit.
“Kebanyakan mereka tidak tinggal di sini kerana bekerja atau belajar di luar, kita berharap pengundi baharu ini akan kembali ke Kanowit untuk membuang undi pada Hari Mengundi 19 November ini,” katanya ketika ditemui selepas prose penamaan calon hari ini,
Mengenai kebarangkalian berlakunya banjir besar di kawasan luar bandar Kanowit, beliau berkata, agensi berkaitan akan digerakkan untuk membantu penduduk ke Pusat Mengundi untuk mengundi.
“Saya akan berkempen mengikut manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS), ” katanya yang merupakan Ahli Parlimen empat penggal sejak 2004.
Pada PRU-15 ini, kerusi Parlimen Kanowit menyaksikan pertembungan lima penjuru, Aaron yang merupakan penyandang akan ditentang empat calon, seorang daripada Pakatan Harapan dan tiga calon Bebas.
Pertembungan lima penjuru itu termasuk calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Fauzi Abdullah @ Joseph Nyambong, 61, dan tiga calon Bebas iaitu Dr Elli Luhat, 65, Chen Nyuk Fa, 60, dan Michael Lias, 61.
Berdasarkan maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerusi Parlimen Kanowit mempunyai keseluruhan seramai 30,998 pengundi iaitu merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah 14,109 pengundi dan Machan 16,879 pengundi. – TVS