KUCHING, 5 Nov: Kerusi Parlimen Petra Jaya bakal direbut tiga penjuru membabitkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof.
Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu dicabar oleh Pakatan Harapan, Sopian Julaihi dan calon dari Parti Sedar Othman Abdillah.
Perkara itu disahkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya P.194, Mohamed Khaidir Abang.
Sebelum ini, pada PRU-14, Fadillah mempertahankan kerusinya dalam pertandingan tiga penjuru menentang Nor Irwan Ahmat Nor dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Hamdan Sani dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan majoriti 15,017 undi.
Terdahulu Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkesempatan hadir di sini kira-kira jam 9.55 pagi untuk memberikan sokongan kepada Fadillah seterusnya beredar dari Pusat Penamaan Calon pada jam 10.10 minit pagi.
Fadillah tiba di Pusat Penamaan Calon pada kira-kira 8.50 pagi, bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman sebagai pencadang dan penyokong, Hanifah Saed.
Sementara calon PH, Sopian menjadi calon terawal tiba di Pusat Penamaan Calon Dewan Al-Muneerah, SMK Petra Jaya kira-kira pukul 8.48 pagi bersama Edris Hirmi sebagai penyokong dan Iswardy Morni sebagai pencadang.
Diikuti Othman (Sedar) tiba sekitar jam 8.50 pagi bersama Jaini Kipli sebagai penyokong dan Abang Halit Abang Malik selaku pencadang.