KUCHING, 5 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerusi Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof berharap agar keharmonian yang wujud di kawasan itu pada setiap musim pilihan raya berterusan kali ini.
Menteri Kanan Kerja Raya itu berkata, beliau juga mahukan semua pihak mematuhi etika dan seterusnya saling menghormati antara satu sama lain.
“Kalau sesiapa hendak main kotor, nasihat saya jangan berbuat demikian kerana jika ada pihak mulakan, akan ada jawapan balas dan akhirnya hilang harmoni,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon Dewan Al-Muneerah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petra Jaya di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerusi Petra Jaya telah menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Fadillah dengan Nor Irwan Ahmat Nor daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Hamdan Sani yang bertanding atas tiket Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Fadillah merupakan penyandang di kerusi berkenaan dan mempertahankannya pada 2018 dengan majoriti 15,017 undi.
Berhubung pencalonannya, Fadillah berkata, perjuangan beliau adalah atas dasar parti dan bukannya individu. -TVS