KUALA LUMPUR, 5 Nov : Hasrat seorang pesara yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) masalah penglihatan untuk menjadi calon kerusi Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini tidak kesampaian.
Ini kerana Habib Bourguiba Abd Hamid tiba lewat di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, di sini.
Habib Bourgiba berkata, ketika pengumuman penyerahan borang pencalonan ditutup, dia sedang berjalan untuk masuk ke perkarangan sekolah itu.
“Saya dari Keramat dan keluar rumah sebelum pukul 8.50 pagi tadi,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Titiwangsa, Firdaus Said berkata, beliau terpaksa menolak borang pesara itu berdasarkan peraturan yang ditetapkan.
Parlimen Titiwangsa akan menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan wakil Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Dr Rosni Adam daripada Perikatan Nasional (PN) ,Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) dan Khalid Abdul Samad yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Pada 2018, Datuk Seri Rina Mohd. Harun menang kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru. -TVS