KUCHING, 5 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Bandar Kuching, Eric Tay Tze Kok, 44, tidak gentar berdepan penyandang kerusi tersebut Dr Kelvin Yii, 36 dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.
Ditemui selepas penamaan calon di Dewan Masyarakat, Majlis Bandaraya Kuching (MBKS) hari ini, Eric Tay percaya tempoh kempen dua minggu yang diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan digunakan sebaiknya oleh jentera pilihan GPS untuk memikat hati pengundi.
“Kita semua tahu Bandar Kuching sentiasa menjadi cabaran yang sukar bagi kita yang mana kerusi ini dimenangi calon DAP sejak empat penggal yang lalu.
“Sekali lagi saya nak tekankan, tiada yang mustahil, saya berazam untuk melakukan yang terbaik di sini, “ katanya.
Ketua Pemuda SUPP Cawangan Bandar Kuching itu berjanji jika diberikan mandat untuk mewakili kawasan berkenaan akan memberi tumpuan terhadap isu masyarakat setempat.
“Bagi penduduk Kuching, isu banjir saban tahun berulang selama lebih 10 tahun, sekiranya dipilih saya akan membangkitkan isu ini di Parlimen dan mencari jalan penyelesaian.
“Saya harap rakyat memberi peluang kepada saya untuk mewakili suara mereka di Parlimen, minggu depan saya akan mengumumkan manifesto saya yang akan merangkumi keutamaan kepada belia dan juga wanita, ” ujarnya.
Terdahulu beliau hadir ke pusat penamaan calon bersama pencadang Bong Lian Huan dan penyokong Lucas Yong jam 9 pagi diiringi Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng serta 150 penyokongnya.
Bandar Kuching menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Eric Tay (GPS), Dr Kelvin Yii (DAP) dan Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan yang bertanding menggunakan tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Pada PRU-14, Kelvin menang kerusi tersebut dengan majoriti sebanyak 35,973 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kho Teck Wan yang memperoleh 12,575.-TVS