Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

PRU-15 bermula hari ini dengan proses penamaan calon

PUTRAJAYA, 5 Nov: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi memilih kerajaan baharu Malaysia bermula hari ini dengan proses penamaan calon di 222 pusat penamaan di seluruh negara.

Turut diadakan serentak adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah yang tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding dan akan berakhir pada 11.59 malam, 18 Nov.

Selain 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, pilihan raya bagi 116 kerusi DUN di Perlis, Pahang dan Perak turut diadakan serentak selepas ketiga-tiga negeri itu membubarkan DUN masing-masing susulan pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Okt lepas.

Daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRU-15, pilihan raya negeri dan PRK Bugaya adalah Daftar Pemilih Tambahan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Okt 2022.

Negeri-negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serta yang diterajui PAS iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah tidak membubarkan DUN dan tiada pilihan raya peringkat DUN berkenaan.

Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor sebelum ini telah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing. PRN Sabah diadakan pada 26 Sept 2020, Melaka (20 Nov 2021), Sarawak (18 Dis 2021) dan Johor (12 Mac 2022).

PRK DUN Bugaya pula diadakan bersekali dengan PRU15 berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada 17 Nov 2020 dan tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Sebelum penggal Parlimen ke-14 dibubarkan, komposisi kerusi Dewan Rakyat menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dengan 90 kerusi, Barisan Nasional (43), Bersatu (28), Gabungan Parti Sarawak (19), PAS (17), Warisan (tujuh), Parti Bangsa Malaysia (enam), Parti Pejuang Tanah Air (empat), Bebas (tiga) dan masing-masing satu kerusi bagi parti MUDA, Parti Sarawak Bersatu dan STAR.

Dua kerusi kosong selepas kematian penyandangnya iaitu Datuk Hasbullah Osman dari BN bagi kerusi Parlimen Gerik, Perak dan Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan