SIMUNJAN, 5 Nov : Pekan Simunjan dibanjiri lautan penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyambut kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut mengiringi calon muka baharu kerusi Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee pagi ini.
Ketibaan Abang Johari yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong bersama ADUN Simunjan Awla Dris dan ADUN Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo di Dewan Mesra Simunjan sebagai tanda sokongan kepada Rodiyah.
Kehadiran Abang Johari disambut penyokong GPS dan warga Simunjan yang tidak melepaskan peluang untuk menemui Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu secara empat mata.
Rodiyah diiringi Ir Aidel dan mantan ADUN Gedong, Datuk Naroden Majais iaitu masing-masing selaku pencadang dan penyokong tiba di lokasi pada jam 8.30 pagi.
Sempat beramah mesra dan bersalaman dengan Abang Johari bagi meminta restu Rodiyah, Ir Aidel dan Naroden memasuki dewan untuk menyerah borang penamaan calon tepat pada jam 9.05 pagi.