KAPIT, 5 Nov : Keperibadian Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berjiwa rakyat menjentik hati seorang pesara guru hadir di pusat penamaan calon untuk menyokong penyandang kerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu yang juga bekas pelajarnya pagi tadi.
Warga emas, Rosnah Rakawi, 79, kelihatan tidak lekang dengan senyuman mengibarkan bendera GPS di perkarangan Kompleks Kerajaan Negeri, Jalan Bleteh di sini hari ini sambil duduk di kerusi lipat yang dibawakannya dari rumah.
“Saya pernah mengajar beliau (Nanta) dahulu oleh itu pagi ini saya hadir memberi sokongan kepada bekas anak murid saya ini,” katanya sambil menzahirkan rasa bangga terhadap anak didiknya itu kerana banyak menabur bakti kepada rakyat.
Tambahnya Nanta seorang anak murid yang baik serta berdisiplin di sekolah dahulu hingga melahirkan beliau sebagai wakil rakyat yang berkaliber kini.
“Saya turut berbangga dengan dirinya kerana dapat berbakti kepada rakyat. Keperibadian Nanta yang berjiwa rakyat menjadikannya pilihan rakyat di Kapit,”ujarnya mendedahkan tidak dapat berdiri lama membuatkan beliau membawa kerusi dari rumah.
Disoal mengenai harapannya terhadap Nanta sekiranya menawan parlimen Kapit sekali lagi selepas ini, Rosnah menyatakan hasrat agar Nanta mempertimbangan untuk membina sebuah Wisma Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) di Kapit.
“Saya ingin melihat Wisma PPWS dibina di Kapit ini untuk membantu wanita luar bandar khusunya di Kapit dengan mewujudkan program terancang dan aktiviti yang memberi mereka didikan serta kemahiran wanita luar bandar di sini dapat menyediakan program seperti pemakanan sihat, penjagaan kebersihan diri, masakan, kraftangan dan sebagainya,” tambahnya. -TVS