SEBUYAU, 4 Nov: Komuniti Anak Sebuyau (KOMAS) dan pensyarah dari Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalinkan kerjasama untuk menjayakan program Peningkatan Prestasi Akademik Anak Sebuyau.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi percaya program tersebut akan menjadi pencetus kepada kecemerlangan anak-anak Sebuyau.
“Terima kasih secara khusus buat para Pensyarah dari UPM yang diketuai Ketua Program, Datin Rosnani Jusoh yang datang dari jauh demi anak- anak Sebuyau.
“Tahniah juga buat anak-anak dan para ibu bapa di Daerah Sebuyau yang dapat bersama-sama dan memberikan komitmen untuk bersama-sama dalam program pada kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang di Majlis Perasmian Penutupan Program Peningkatan Prestasi Akademik Anak Sebuyau di sini, semalam.
Tambahnya, objektif program itu merupakan suatu usaha yang murni dan berjiwa besar dalam melahirkan anak-anak Sebuyau yang terus cemerlang serta lahir insan terdidik unggul.
Sementara itu, dalam konteks pasca pandemik COVID-19, beliau menyedari cabaran besar yang perlu dihadapi ialah memastikan agenda pendidikan mencapai natijahnya.
“Sudah pasti tanggungjawab para guru sebagai pendidik memerlukan dinamika, kesungguhan dan komitmen tinggi dalam mendidik anak-anak.
“Didik, asuh, santuni dan kasihi anak-anak ini dengan santunan ilmu yang penuh dengan bimbingan seperti kasih serta sayang santunan seorang ibu atau ayah,” ujarnya.
Beliau berharap ramai lagi anak-anak jati Sebuyau yang memberikan khidmat bakti kepada warga Sebuyau. – TVS