LIMBANG, 4 Nov : Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) Batu Danau siap siaga membantu calon GPS bagi kerusi Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah untuk menawan lagi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) nya, Paulus Palu Gumbang menegaskan gerakan kempen akan bermula sebaik sahaja acara penamaan calon berakhir pada pagi esok.
“Kami sudah bersedia dan jentera sudah bersedia untuk memastikan kita akan menang besar seperti PRU lepas,” katanya.
Tegasnya jentera parti terus merapatkan barisan serta memperkemaskan jentera parti untuk menempuhi tempoh berkempen selama 14 hari secara mendekati masyarakat.
“Bilik gerakan pun sudah siap sedia dan kru-kru kempen pun sudah ada, pemuda pun sudah bersedia untuk memasang bendera dan poster,” ujarnya strategi akan bermula pada esok.
Mengenai pencalonan semula Hasbi sebagai Ahli Parlimen Limbang, Paulus turut menzahirkan ucapan tahniah serta optimis GPS akan memperolehi kemenangan besar pada pilihan raya ini. – TVS