Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tiga kiri) meletakkan telapak tangan beliau pada peranti sebagai simbolik merasmikan International Counseling Convention 2022 di Kuching. Foto: TVS

Sarawak perlu lebih ramai kaunselor

KUCHING, 3 Nov: Hanya terdapat 488 orang kaunselor aktif yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia berkhidmat di Sarawak ketika ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan Sarawak yang mempunyai populasi berjumlah 2.9 juta meyebabkan seorang kaunselor perlu memberikan perkhidmatan kepada 6,000 orang pada satu masa.

Keadaan itu, kata beliau, memberikan gambaran jelas peningkatan pemintaan dan keperluan terhadap ahli psikologi dan kaunselor di negeri ini.

“Menyedari kepentingan perkhidmatan kaunseling dan psikologi, Sarawak mengambil inisiatif iaitu ‘Satu Komuniti Satu Kaunselor’ yang menyasarkan untuk mencapai kesejahteraan holistik rakyat kita,” katanya ketika merasmikan International Counselling Convention 2022 di sini, malam tadi.

Beliau berkata, menyedari keperluan rakyat Sarawak untuk memperoleh sokongan psikologi, kerajaan telah menubuhkan Pusat Komuniti Kaunseling Psikologi Sarawak (SPCC) .

Katanya, penubuhan pusat berkenaan merupakan inisiatif khas kerajaan negeri untuk membantu menjaga kesihatan mental dan kesejahteraan orang ramai terutamanya mereka yang mempunyai masalah gangguan psikologi.

Abang Johari dalam pada itu turut menjelaskan beliau turut menyedari kepentingan menjaga seterusnya menyediakan perkhidmatan psikologi dan kaunseling kepada penjawat awam negeri.

“Dengan menempatkan 42 Pegawai Psikologi disetiap agensi dan jabatan keraajaan negeri , kita terus komited untuk menyokong kesihatan mental dan kesejahteraan semua penjawat awam.

“Selain itu kita turut membangunkan model kesejahteraan penjawat awam untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan inisiatif ke arah membangunkan tenaga kerja yang berkembang maju, dari segi mental dan fizikal.

“Inisiatif ini akan mewujudkan peluang dan persekitaran untuk memudahkan pembangunan tenaga kerja awam yang sihat, gembira, berjaya dan produktif,” katanya.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Presiden Persatuan Kaunseling Antarabangsa Malaysia Dato Dr Abdul Halim Mohd Hussin dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Datuk Mohamad Kadim Suaidi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan