KUCHING, 3 Nov: Kehadiran seorang wanita yang berselendang merah, berbaju putih logo Gabungan Parti Sarawak (GPS) menarik perhatian ramai pada majlis penyerahan watikah kepada calon-calon gabungan itu di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.
Wanita dimaksudkan ialah Rodiyah Sapiee berasal dari Kampung Tanjung Harapan, Simunjan yang tidak pernah lekang dengan senyuman, merupakan antara 14 calon muka baharu ditampilkan pada PRU-15.
Pernah bekerja di Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita), wanita berusia 44 tahun ini mencuri tumpuan apabila Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Rodiyah sebagai calon di kerusi Parlimen Batang Sadong.
Beliau menggantikan Dato Sri Nancy Shukri yang berpindah ke kerusi Parlimen Santubong.
“(Jika menang) saya akan bekerjasama dengan ketiga-tiga wakil rakyat di kawasan Parlimen Batang Sadong,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyerahan watikah oleh Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Baca artikel berkaitan di sini >>> PRU-15: Nancy Shukri berpindah ke Santubong
Mengakui bakal mengisi ‘kasut besar’, Rodiyah menzahirkan penghargaan kepada Abang Johari atas kepercayaan memilih beliau sebagai calon.
Beliau juga berharap supaya mendapat sokongan yang padu daripada penduduk di kawasannya.
GPS bertanding di 31 kerusi Parlimen di Sarawak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 November sebagai tarikh penamaan calon, undi awal pada 15 November dan 19 November hari mengundi. -TVS