PETALING JAYA, 3 Nov: Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersikap realistik mengenai kemampuan mereka di Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata, ini berdasarkan perkembangan di negeri itu sejak tiga tahun kebelakangan ini.
“PKR perlu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi – pengundi di Sarawak.
“Kita ada rekod baik di tiga hingga empat kerusi parlimen di sana,” katanya kepada TVS di sini hari ini.
Baca artikel berkaitan > > > PKR kalah di kesemua 27 kerusi yang ditandingi?
Menurut Rafizi, bagi PRU-15 ini PKR berharap dapat pertahankan kerusi yang dimenangi atau memberikan tentangan kepada parti lain.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 tahun lepas, PKR menerima tamparan besar apabila tewas di kesemua 27 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.
Pada PRU-14, PKR menang empat kerusi iaitu Miri, Puncak Borneo, Saratok dan Selangau.
Pada Mac 2020, Baru Bian yang juga Ahli Parlimen Selangau dan Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo) dipecat daripada PKR selepas keluar Pakatan Harapan dan menyokong Perikatan Nasional.
Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju pula kemudian turut meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu.
Sementara itu, Rafizi turut mengakui PKR berdepan kerumitan memilih calonnya untuk menentang Khairy di Sungai Buloh pada PRU-15 ini.
“Perbincangan paling panjang bagi PKR setakat ini dan memang wujud perbezaan pendapat membabitkan jawatan kuasa pemilihan dengan pandangan disuarakan oleh Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya. -TVS