KUCHING, 3 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan melancarkan manifesto sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 6 November ini, sehari selepas penamaan calon Sabtu ini.
Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GPS akan bertanding berasaskan satu perjuangan bertemakan ‘Sarawak First’.
“Kami sangat tegas dalam manifesto walaupun ada orang kata ia bukan kitab suci.
“Manifesto dikeluarkan pihak lawan (pada PRU-14), semuanya ‘abu duak sudu’ dan banyak perkara dijanjikan tidak dilaksanakan dalam masa 22 bulan (ketika Pakatan Harapan) memerintah. Orang Sarawak jangan biarkan pisang berbuah dua kali.
“GPS akan mempertahankan hak Sarawak. GPS mempunyai dasar kita termasuk (menuntut) perkara-perkara MA63 yang belum selesai (dan masih) dalam rundingan,” ujarnya.
GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
GPS akan bertanding di semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada pilihan raya umum ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 November sebagai hari penamaan calon, 15 November undi awal dan 19 November sebagai hari mengundi. – TVS