KUCHING, 3 Nov: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru pengundi agar berwaspada dan mencurigai manifesto pembangkang.
“Dulu kita ada manifesto dikeluarkan pihak lawan, semuanya ‘abu duak suduk’ (cakap kosong) dan banyak perkara dijanjikan tidak dilaksanakan dalam masa 22 bulan,” katanya.
Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk pemerintahan negara selama 22 bulan selepas PRU-14 pada 2018.
Abang Johari yang juga Premier Sarawak mengingatkan agar pengundi di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) membuat keputusan yang tepat pada 19 November.
“Orang Sarawak jangan melihat pisang berbuah dua kali,” katanya pada sidang media sempena majlis penyerahan watikah calon-calon GPS di sini, hari ini.
Beliau memberi bayangan serba sedikit mengenai manifesto GPS yang akan dilancarkan pada 6 November.
Menurutnya, GPS amat tegas mengenai manifesto pilihan raya dan perkara diutamakan ialah mempertahankan hak-hak Sarawak.
“Kami sangat tegas dalam manifesto walaupun ada orang kata ia bukan kitab suci,” katanya.
Terdahulu, beliau mengumumkan nama 31 calon GPS dan 14 daripadanya merupakan calon muka baharu. -TVS