KUCHING, 3 Nov : Ketokohan veteran politik Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencerminkan kejayaan ‘suara’ Gabungan Parti Sarawak di peringkat Parlimen.
Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu terbukti membuahkan hasil dalam mengiktiraf beberapa hak dan keistimewaan Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Antara Kerajaan (IGC) sewaktu bergelar Ahli Parlimen.
“GPS telah berjaya melalui Menteri GPS, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan senarai nama calon GPS yang bakal dipertaruhkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di sini, hari ini.
Menzahirkan penghargaan kepada Wan Junaidi serta dua lagi veteran politik yang berundur, Abang Johari menegaskan barisan sedia ada bakal meneruskan perjuangan GPS untuk mengembalikan hak dan keistimewaan Sarawak dalam MA63.
“Terima kasih kepada mantan Ahli Parlimen yang berkhidmat dalam kerajaan yang lalu serta berundur untuk memberi laluan kepada muka baharu kali ini,” ujarnya.
Tema ‘Sarawak First’ merupakan pembakar semangat GPS tegas Abang Johari optimis pertaruhan pada PRU-15 ini mendapat sokongan penuh rakyat Sarawak.
Terdahulu Abang Johari mengumumkan GPS bertanding di kesemua 31 kerusi parlimen iaitu 14 calon daripadanya adalah muka baharu.
Sementara dua lagi nama yang digugurkan adalah mantan Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan mantan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat. – TVS