KUCHING, 3 Nov: Calon-calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) terdiri daripada mereka yang berpengalaman, berada pada pertengahan umur dan muda, kata Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya lagi, menerusi 31 calon, GPS turut menambah dua lagi wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Baca artikel berkaitan > > > PRU-15: GPS pertaruh 14 muka baharu
“Mereka terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan kedua, berumur pertengahan dan ketiga mereka orang muda,” katanya pada majlis penyerahan watikah kepada calon-calon GPS di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata GPS akan terus mempertahankan hak-hak Sarawak menerusi perwakilan di Parlimen yang akan mendukung slogan ’Sarawak First’, terutama perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“GPS akan mempertahankan hak Sarawak. GPS mempunyai dasar kita termasuk (menuntut) perkara-perkara MA63 yang belum selesai (dan masih) dalam rundingan,” ujarnya.
GPS akan bertanding di semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada pilihan raya umum ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 November sebagai hari penamaan calon, 15 November undi awal dan 19 November sebagai hari mengundi. – TVS