Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Nanta dan Nancy merakam kenangan bersama para pelajar pada Majlis Program Sumbangan Food Bank Siswa

Sumbangan Food Bank Siswa di UiTM Sarawak ringankan kos sara hidup pelajar

ByFarah Diyana Samsuddin

KOTA SAMARAHAN, 2 Nov : Program Sumbangan Food Bank Siswa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diperluaskan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak sebagai inisiatif meringankan kos sara hidup para pelajar.

Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata UiTM Sarawak merupakan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ke-29 secara rasmi menerima manfaat berkenaan.

“KPDNHEP telah memperluas Inisiatif Food Bank Siswa di UiTM Sarawak hari ini yang berkonsepkan ‘Food Pantry’ yang juga bertujuan untuk mengurangkan pembaziran makanan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di sini, hari ini.

Menurut beliau, bermula Februari 2019 sehingga Oktober 2022 seramai 21,025 pelajar telah menikmati program tersebut di seluruh negara sejak ia dilancarkan.

Program Food Bank Siswa ini juga jelas beliau merupakan kolaborasi antara KPDHNHEP bersama Sekretariat Food Bank Malaysia, Rakan Strategik Utama, Institut Pengajian Tinggi, pihak penyumbang dan sukarelawan pelajar untuk memastikan pelaksanaan program berjalan dengan lancar dan lebih sistematik.

Nanta turut memberitahu kementeriannya juga melaksanakan Inisiatif Pembungkusan Makanan secara ‘retort’ yang melibatkan industri perhotelan, katering dan pengeluar makanan berasaskan pertanian.

Inisiatif Teknologi Retort bersifat ‘Ready to Eat’ ini jelasnya akan memanjangkan hayat makanan antara 12 sehingga 18 bulan.

Bagi melangsungkan inisiatif berkenaan, Nanta mengalu-alukan sumbangan badan korporat, pemain industri sektor pemborongan, peruncitan dan katering serta orang perseorangan untuk menjadi rakan strategik.

Terdahulu, majlis turut menyaksikan seramai 800 orang pelajar peringkat Diploma serta Ijazah Sarjana Muda UiTM Sarawak daripada keluarga B40 menerima bantuan Peranti Siswa Keluarga Malaysia.

Peranti Siswa Keluarga Malaysia merupakan inisiatif daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi melalui Belanjawan 2022.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato’ Sri Nancy Shukri dan Rektor UiTM Cawangan Sarawak Prof Dato Dr Jamil Hamali. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan